Nasib Guru Hakekat-Kyai Kasin
Terjadi suatu peristiwa, seorang
pemuda telah bertanya kepada guru
tasawufnya tentang perbezaan antara
orang-orang syariat dan orang-orang
hakikat dalam memahami agama
Islam dan kenapa ilmu hakikat tidak
berkembang luas. Kemudian sang
guru berkata..
“Untuk aku menjawab soalanmu itu
wahai muridku, pergilah bertanya
kepada kedua mereka akan dua
persoalan ini iaitu yang pertama,
adakah Allah itu berkuasa dan yang
kedua, sembahyang itu apa
hukumnya? Pergilah ke kampung
sebelah kerana disana kamu akan
menemui ulama syariat dan ulama
hakikat. Bertanyalah kepada orang-
orang kampung disana untuk mencari
mereka.”
Akur atas arahan gurunya itu lantas
si pemuda tanpa banyak bicara terus
ke rumah ulama syariat yang terkenal
dikampung sebelah dengan bertanya-
tanya arah rumahnya kepada orang
kampung. Sesampainya si pemuda
itu dirumah ulama syariat tersebut
dengan ramah mesra si pemuda
diajak masuk ke dalam rumah yang
serba sederhana itu. Sang ulama
syariat kelihatan kemas berjubah
putih dan berserban, ditambah raut
wajahnya yang bersih tanda beliau
seorang yang soleh. Si pemuda
dilayan seperti anak sendiri dengan
dijamu makan malam sebelum sesi
dialog dijalankan. Usai makan malam
terus sahaja sang ulama syariat
memulakan bicara.
“Ada urusan apa sehingga kamu
bertandang ke rumah saya ini wahai
anak muda?”
Tanya sang ulama syariat dengan
nada yang redup.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan
jawapan diatas dua persoalan yang
ingin saya ajukan berkenaan dengan
agama Islam kita ini kepada ustaz.
Soalannya ialah adakah Allah itu
berkuasa dan yang kedua,
sembahyang itu apa hukumnya?”
Setelah diam sejenak lalu sang
ulama syariat menarik nafas dalam-
dalam dan dengan tenang
memberikan jawapannya.
“Ya, Allah itu memang berkuasa dan
sembahyang itu hukumnya adalah
wajib.”
Setelah mendapatkan jawaban
daripada ulama syariat itu maka
pemuda itu pulang sambil hatinya
berazam untuk bertemu dengan
ulama hakikat pula. Keesokkan
harinya si pemuda mula merayau-
rayau dikampung itu untuk mencari
sang ulama hakikat. Puas bertanya
dengan orang kampung maka tengah
hari itu si pemuda bertemu dengan
seorang makcik yang akhirnya
bersetuju menunjukkan beliau
dimana sang ulama hakikat berada.
Sesampainya ditempat yang dituju
kelihatan seorang lelaki tua sedang
membersihkan halaman rumahnya
yang luas dihiasi taman bunga yang
cantik. Rumahnya begitu besar dan
mewah. Sang ulama hakikat yang
berkulit gelap itu kelihatan memakai
pakaian yang agak lusuh berbanding
rumahnya yang begitu mewah. Sudah
sepuluh minit si pemuda berbual-
bual ringan dengan sang ulama
hakikat namun kelihatan seolah-olah
tiada tanda-tanda sang ulama hakikat
mahu menjemput beliau masuk ke
dalam rumahnya yang mewah itu.
“Ada apa urusan nak jumpa saya
ini?”
Tanya sang ulama hakikat itu sambil
tersenyum. Kemudian si pemuda
bertanyakan soalan yang sama
sebagaimana yang ditanyakan
kepada sang ulama syariat.
“Sebenarnya saya ingin mendapatkan
jawapan diatas dua persoalan yang
ingin saya ajukan berkenaan dengan
agama Islam kita ini kepada ustaz.
Soalannya ialah adakah Allah itu
berkuasa dan yang kedua,
sembahyang itu apa hukumnya?”
Kelihatan sang ulama hakikat
tersenyum sahaja mendengar soalan
itu lantas dengan tahkik beliau
menjawab..
“Wahai anak muda ketahuilah yang
sebenarnya bahawa Allah itu tidak
berkuasa dan sembahyang itu
hukumnya adalah haram.”
Terperanjat besar si pemuda
mendengar jawapan sang ulama
hakikat yang bersahaja itu. Sukar
rasanya si pemuda mahu
menghadam jawapan yang baru
disampaikan kepadanya itu. Tanpa
berlengah-lengah maka si pemuda
itu mohon undur diri kemudian
pulang ke rumahnya dengan seribu
persoalan yang berlegar-legar
dibenak kepalanya.
Sebagai seorang muslim taat yang
baru hendak menjinak-jinakkan diri
dengan dunia tasawuf, si pemuda
berasa keliru dengan jawaban yang
diberikan oleh sang ulama hakikat.
Setahu beliau pelajaran tasawuf itu
bersangkutan dengan ilmu hakikat
dan ma’rifat. Mendengar jawapan
daripada sang ulama hakikat itu
membuatkan si pemuda berasa takut
untuk meneruskan pelajaran tasawuf
dengan gurunya dan mengambil
keputusan untuk tidak lagi berguru
dengan guru tasawufnya lantas
mengambil keputusan untuk berguru
dengan sang ulama syariat. Beliau
mulai meragui perjalanan ilmu
hakikat dan dalam hati beliau
bergumam..
“Kalau nak dibandingkan dari segi
akhlak pun akhlak sang ulama syariat
lebih bagus daripada akhlak sang
ulama hakikat. Walaupun sang ulama
syariat hidup dalam keadaan
sederhana namun aku dijemput
masuk ke dalam rumahnya lantas
dijamu dengan makanan yang enak
berbanding sang ulama hakikat yang
kedekut.. sudahlah tidak dijemput
masuk ke dalam rumahnya, setitik air
pun tidak diberinya malah dengan
dirinya sahaja pun sudah kedekut.
Lihat sahaja pakaiannya yang lusuh
itu.”
Keesokkannya, si pemuda dengan
tergesa-gesa menuju ke rumah sang
ulama syariat dan menceritakan
kepada beliau hasil dialognya dengan
sang ulama hakikat. Mendengar
penjelasan si pemuda, sang ulama
syariat berasa marah lantas
mengarahkan anak-anak muridnya
untuk menangkap sang ulama
hakikat. Maka dengan sekejap sahaja
penduduk kampung itu digemparkan
dengan cerita bahawa sang ulama
hakikat itu telah membawa ilmu sesat
dikampung itu.
Sang ulama hakikat dapat ditangkap
dengan bantuan orang-orang
kampung. Tangannya diikat
dibelakang lalu dipaksa untuk
berjalan. Kelihatan terdapat segelintir
dari orang-orang kampung yang
bertindak memukul muka dan badan
beliau serta tidak kurang juga ada
yang melempari beliau dengan batu-
batu kecil kerana tidak dapat
menahan rasa marah. Pun begitu
sang ulama hakikat tetap berdiam
namun air matanya tak henti-henti
mengalir. Mungkin beliau menahan
sakit.
Tiba dihalaman rumah sang ulama
syariat lalu dengan kasar tubuh sang
ulama hakikat yang sudah tua itu
ditolak dengan keras lantas beliau
terdorong ke depan lalu jatuh
tersungkur. Si pemuda yang sedari
tadi menunggu dirumah sang ulama
syariat terkejut dengan situasi itu.
Beliau tidak menyangka sampai
begitu malang nasib yang menimpa
sang ulama hakikat sehingga
diperlaku begitu. Namun apalah
dayanya untuk mengekang
kemarahan orang-orang kampung
yang sedang meluap-luap itu.
Kemudian setelah meredakan
suasana, sang ulama syariat
menghampiri sang ulama hakikat lalu
bertanya kepada beliau..
“Benarkah anda menjawab ‘Allah itu
tidak berkuasa dan sembahyang itu
hukumnya adalah haram’ sebagai
menjawab pertanya pemuda ini?”
sambil jari telunjuknya diarahkan
tepat pada si pemuda.
Dengan tenang sang ulama hakikat
menjawab “Ya”.
Kemudian sang ulama syariat
bertanya lagi.
“Adakah anda masih dengan
pendirian anda atau anda mahu
bertaubat?”
Tanya sang ulama syariat tegas. Lalu
dijawab dengan tenang oleh sang
ulama hakikat..
“Untuk kesalahan yang mana lalu
saya perlu bertaubat wahai hakim?”
“Untuk kesalahan anda yang
mengatakan Allah tidak berkuasa dan
sembahyang itu hukumnya haram!”
“Oh begitu.. beginilah tuan hakim,
pada saya jawapan saya itulah yang
teramat benar namun jika tuan hakim
tidak menyetujuinya tidak apa-apa
dan terserahlah kepada
kebijaksanaan tuan hakim untuk
mengadili saya kerana tuan adalah
hakim dinegeri ini.”
Habis sahaja sang ulama hakikat
berkata begitu lantas beliau dilempari
dengan puluhan sepatu oleh
penduduk kampung dan ada juga
yang berteriak agar beliau dibunuh.
Sang ulama syariat terdiam dan
merenung dalam seolah-olah
memikirkan sesuatu yang berat.
Akhirnya sang ulama syariat
membuat keputusan agar sang ulama
hakikat diberi tempoh sehingga esok
untuk bertaubat dan jika tidak beliau
akan dihukum bunuh. Setelah itu
sang ulama hakikat diikat pada
sebatang pokok nangka yang berada
dihalaman rumah sang ulama syariat
dalam posisi duduk menghadap
kiblat sambil dikawal oleh beberapa
orang-orang kampung.
Kini, saatnya pun telah tiba namun
sang ulama hakikat tetap tidak mahu
bertaubat daripada pendiriannya.
Ramai yang merasa pelik dengan
pendirian sang ulama hakikat dan
yang lebih kusut lagi ialah fikiran si
pemuda itu. Tiba-tiba si pemuda
merasa kasihan dan merasa bersalah
mengenang keadaan malang yang
menimpa sang ulama hakikat adalah
hasil daripada perbuatannya. Namun
nasi sudah menjadi bubur. Perlahan-
lahan si pemuda mendekati sang
ulama hakikat untuk memohon maaf.
Aneh.. kelihatan sang ulama hakikat
itu hanya tersenyum dan dengan
senang hati mahu memaafkan si
pemuda. Ketika si pemuda itu mahu
beredar tiba-tiba ia mendengar sang
ulama hakikat membacakan sepotong
ayat Al Quran dengan nada yang
riang..
“Wa qul jaa alhaq wazahaqol baathil
innal baathila kana zahuuqo.”
Ucap beliau berulang-ulang sambil
memandang kearah seseorang lantas
mukanya tiba-tiba kelihatan berseri-
seri dalam senyuman yang
menggembirakan. Si pemuda lantas
menoleh kearah orang itu dan apa
yang beliau lihat ialah kelibat bekas
guru tasawuf beliau diantara celahan
penduduk kampung yang ingin
menyaksikan hukuman pancung yang
bakal dijalankan. Tak lama kemudian
hukuman bunuh pun dilaksanakan
maka tamatlah riwayat sang ulama
hakikat dibawah mata pedang sang
algojo. Seluruh penduduk kampung
bersorak gembira tanda kemenangan
dipihak mereka yang berjaya
membunuh seorang pembawa ajaran
sesat.
Selang beberapa hari oleh kerana
rasa ingin tahu yang meluap-luap
maka si pemuda bersegera
mengadap bekas guru tasawufnya. Si
pemuda berasa hairan mengapa sang
ulama hakikat membacakan ayat 81
daripada surah al-Isra’ seraya
melihat kelibat bekas guru
tasawufnya itu?.
“Wahai muridku, marilah duduk
dihadapanku ini.”
Ujar guru tasawuf seraya melihat
kedatangan muridnya itu. Si pemuda
terkedu.. tidak tahu apa yang hendak
dikatakan. Fikiran terasa kosong dan
segala persoalan yang hendak
diajukan terasa tiba-tiba hilang entah
tertinggal dimana.
“Baiklah muridku, atas persoalanmu
yang dahulu itu maka akan aku jawab
sekarang ini.”
Lembut sahaja bicaranya.
“Adapun persoalanmu tentang
perbezaan antara orang-orang syariat
dan orang-orang hakikat dalam
memahami agama Islam akan aku
jawab seperti berikut. Yang pertama,
orang syariat akan menjawab setiap
persoalan melalui ‘bahasa’ ilmu
syariat manakala orang hakikat akan
menjawab setiap persoalan melalui
‘bahasa’ ilmu hakikat. Jawaban sang
ulama syariat adalah benar menurut
‘bahasa’ ilmu syariat dan jawaban
sang ulama hakikat juga benar
menurut ‘bahasa’ ilmu hakikat.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?”
Tanya si pemuda.
“Begini… adalah benar apabila sang
ulama hakikat memberitahu kamu
bahawa Allah itu tidak berkuasa
sebab melalui peraturan ilmu hakikat,
perkataan ‘Allah’ itu adalah dirujuk
semata-mata sebagai isim bagi zat
tuhan kita sahaja. Ini bermakna yang
berkuasa pada hakikatnya adalah zat
tuhan kita dan bukannya yang
berkuasa itu isimNya. Perkataan
‘Allah’ itu pada hakikatnya adalah
gelar bagi zat tuhan kita. Adapun
gelaran itu hakikatnya adalah khabar
maka khabar tiada ain wujud. Jika
sesuatu itu tiada ain wujudnya maka
mustahil dikatakan ia mempunyai
kuasa. Adakah kamu faham?”
Si pemuda mengangguk lemah
sambil merenung lantai.
“Adalah sesuatu yang benar juga
apabila sang ulama hakikat
memberitahu kamu bahawa
sembahyang itu hukumnya adalah
haram.”
“bagaimana begitu wahai tuan guru?”
Tanya si pemuda.
“Begini… sebenarnya tiada ibadat
sembah-menyembah dalam agama
Islam namun yang ada Cuma ibadat
solat. Ya, ianya adalah solat dan
bukannya sembahyang. Cuba kamu
fahamkan betul-betul maksud firman
Allah dalam surah al-Kafirun ayat 6
yang bermaksud “Bagi kamu agama
kamu dan bagiku agamaku”. Ini
menunjukkan cara ibadat orang kafir
tidak sama langsung dengan cara
ibadat orang muslim. Perkataan
sembahyang itu adalah asalnya terbit
daripada upacara ibadat masyarakat
hindu-budha untuk menyembah
tuhan yang bernama Hyang. Maka
upacara ibadat itu dinamakan
upacara sembahHyang. Solat itu
bukan sembah dan tuhan kita
bukannya Hyang tetapi Allah. Jadi
kita sebagai orang muslim adalah
haram sembahHyang kerana itu
adalah ibadat penganut hindu-budha.
Sesungguhnya solat itu bukan
sembah tetapi solat itu ialah
sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Apabila seseorang kamu sedang
solat sesungguhnya dia sedang
berbicara dengan tuhannya…”.
Si pemuda semakin tertunduk.
“Jadi, adakah kamu sudah faham
mengapa sang ulama hakikat itu
berkata bahawa Allah itu tidak
berkuasa dan sembahyang itu
hukumnya adalah haram?”
“Ya tuan guru, sekarang barulah
jelas.”
“Yang kedua, orang-orang syariat
mempelajari ilmu-ilmu hukum maka
mereka menyelesaikan sesuatu
masalah juga dengan hukum
sementara orang-orang hakikat
mempelajari ilmu-ilmu ma’rifatullah
maka mereka menyelesaikan sesuatu
masalah juga dengan Allah.”
Ketika ini lamunan si pemuda
menyorot kembali peristiwa yang
telah berlaku dimana kata-kata guru
tasawuf itu ada benarnya juga.
Memang benar sang ulama syariat
telah menyelesaikan masalah yang
berlaku dengan hukuman bunuh
terhadap sang ulama hakikat sedang
sang ulama hakikat menyelesaikan
masalah antara dia dan si pemuda
itu dengan kemaafan sesuai dengan
sifat tuhan yang Maha Pemaaf dan
Maha Pengampun.
“Adapun persoalanmu tentang
kenapa ilmu hakikat tidak
berkembang-luas maka akan aku
jawab seperti berikut. Tidak
berkembang-luasnya ilmu hakikat
adalah disebabkan masih adanya
orang-orang yang seperti kamu!”
Bentak sang guru tasawuf yang
membuatkan darah si pemuda
berderau.
“bagaimana begitu wahai tuan guru?”
Tanya si pemuda.
“Kerana kejahilan kamu dalam
memahami hal-ehwal hakikat terus
sahaja kamu tanpa usul periksa
menghukum sang ulama hakikat
sebagai tidak betul dan berburuk
sangka terhadap beliau lalu kamu
memfitnahi beliau dihadapan sang
ulama syariat sehingga sang ulama
hakikat tertangkap lalu diseksa dan
dipancung oleh kalian. Jika semua
ulama hakikat sewenang-wenangnya
dibunuh tanpa usul periksa justeru
kerana itulah ilmu hakikat tidak
berkembang-luas.”
“Tapi tuan guru, bagaimana saya
tidak terkhilaf sedang akhlak sang
ulama hakikat itu tidak mencerminkan
beliau sebagai orang yang beragama!
Sang ulama hakikat langsung tidak
menjemputku masuk ke dalam
rumahnya yang besar lagi mewah itu
dan langsung tidak memberiku walau
setitik air bahkan dengan dirinya
sahaja pun amat kedekut. Lihat
sahaja pakaiannya yang lusuh itu.”
“Awas lidahmu dalam berkata-kata
wahai anak muda! Telahku katakan
tadi bahawa kamu memiliki sifat
buruk sangka. Ketahuilah bahawa
rumah besar lagi mewah yang kamu
lihat itu bukanlah milik sang ulama
hakikat tersebut sebaliknya adalah
milik majikan beliau dan beliau hanya
mengambil upah sebagai tukang
kebun disitu. Adapun pakaiannya
yang lusuh itu maka itu sahajalah
harta benda yang beliau ada dan
beliau hidup hanya untuk
mengabdikan dirinya kepada Allah.”
“Bagaimana tuan guru boleh tahu
segala yang terperinci tentang sang
ulama hakikat itu?”
Tanya si pemuda hairan.
“Kerana orang yang kalian bunuh itu
adalah guru tasawufku maka dengan
itu sebutir lagi permata yang indah
telah hilang. Telahku jawab semua
persoalanmu maka pergilah kamu
kepangkuan guru syariatmu iaitu
sang ulama syariat.”
Si pemuda itu terkejut lantas
berkata…
“Tapi wahai guruku, aku telah insaf
dan ingin kembali berguru denganmu
wahai guruku.. terimalah aku kembali
wahai guruku!!”
“Ketahuilah wahai anak muda, aku
enggan mengambilmu adalah
semata-mata kerana keselamatanmu
dan bukan kerana aku membencimu.”
“Aku tidak faham akan maksud tuan
guru??”
“Pergi sahajalah kembali kepangkuan
sang ulama syariat kerana kamu akan
selamat disana dan jangan kamu
sesekali mengaku aku adalah gurumu
kelak kamu akan mengerti akan
maksud tindakanku ini.”
Dengan hati yang berat dan sayu si
pemuda berjalan menuju ke rumah
sang ulama syariat untuk berguru
dengannya dan beliau diterima
sebagai murid. Selang beberapa hari,
keadaan kampung tiba-tiba kecoh
kembali. Dengar khabarnya seorang
lagi pengamal ilmu sesat telah
ditangkap dan kali ini pengamal
ajaran sesat itu berasal dari kampung
sebelah. Dari kejauhan kelihatan
berbondong-bondong orang ramai
sedang dalam perjalanan menuju ke
rumah sang ulama syariat sambil
menyungsung seorang lelaki yang
telah dikenalpasti sebagai pengamal
atau guru ajaran sesat. Dari jauh si
pemuda dapat saksikan lelaki itu
dipukul dan ditendang malah ada
yang membalingnya dengan batu-
batu kecil sehingga pakaiannya
koyak-rabak. Rupa-rupanya lelaki
yang pakaiannya telah koyak-rabak
itu adalah sang guru tasawufnya.
Maka mengertilah si pemuda itu akan
maksud tindakkan sang guru tasawuf
yang tidak mahu mengambil beliau
sebagai anak murid dan beliau hanya
mampu mengalirkan air mata sambil
menahan sebak melihat sang guru
tasawuf itu diperlakukan seperti itu.
Esoknya hukuman pancung terhadap
sang guru tasawuf itu dilaksanakan
maka sebutir lagi permata yang indah
telah hilang sirna dari negeri itu………
Didalam hati si pemuda merintih..
“Ya Allah.. berapa ramaikah lagi ahli
tasawuf yang mesti dikorbankan
semata-mata mahu membuatkan aku
mengerti mengapa ilmu hakikat tidak
dapat berkembang-luas? Cukup Ya
Allah cukup kerana sekarang aku
sudah mengerti….”
No comments
Post a Comment