Hikayat Hang Tuah IX-Khairol Saiful
Hikayat Hang Tuah (9)
Kelakuan Hang Jebat yang semakin liar sehingga sering bersuka ria di istana dan bermukah dengan dayang-dayang di istana malahan dia meganggap istana adalah tempat tinggalnya. Perbuatan keji Hang Jebat membuatkan Raja Melaka menjadi murka tetapi apakan daya keris pandak Laksamana Hang Tuah masih berada ditangan Hang Jebat, tiada sesiapapun yang akan dapat mengalahkannya. Seterusnya Raja Melaka terpaksa berpindah ke rumah Bendahara Paduka Raja bersama-sama dengan Tun Teja, Raden Emas Ayu serta putera-putera baginda.
Pelbagai percubaan untuk membunuh Hang Jebat yang diperintahkan oleh Raja Melaka telah dilakukan oleh pembesar-pembesar seperti Patih Kerma Wijaya, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan temenggung tetapi kesemuanya gagal. Akhirnya, baginda Raja Melaka menyesal tentang hukuman baginda yang membabi buta terhadap Laksamana Hang Tuah. Pada masa itulah, Bandahara Paduka Raja membongkar rahsia bahawa Hang Tuah masih hidup dan bersembunyi di Hulu Melaka. Tun Pekerma dan Tun Kasturi dititahkan untuk menjemput Laksamana dengan segera.
Raja Melaka sangat gembira menyambut kepulangan Hang Tuah, tambahan lagi baginda sangat rindu kepadanya. Baginda memberikan ayapan baginda kepada Hang Tuah menunjukkan bahawa baginda sangat kasih akan Hang Tuah. Baginda menitahkan supaya Hang Tuah beradu tenaga dengan Hang Jebat kerana baginda tidak tahan dengan penderhakaan Hang Jebat. Hang Tuah mengambil masa lima hari lima malam untuk berehat kerana badan beliau terasa lemah kerana sudah empat bulan tidak bermain senjata.
Hang Tuah menyuarakan kepada raja supaya keris Taming Sari diserahkan kembali kepadanya, tetapi keris tersebut telah diserahkan kepada Hang Jebat semasa Raja Melaka menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk membunuh Hang Tuah. Selagi keris tersebut berada di tangan Hang Jebat, tidak seorang pun akn dapat menumpaskannya. Raja Melaka mencadangkan supaya Hang Tuah menggunakan keris-keris baginda yang lain. Hang Tuah mencuba semua keris baginda raja, tetapi tidak ada satu pun yang boleh menandingi kehebatan Keris Taming Sari. Akhirnya Raja Melaka pun menitahkan Hang Kasturi supaya mengambil keris yang dianugerahkan oleh ayahandanya di Bukit Siguntang, buat Hang Tuah.
Di Istana Melaka, Hang Jebat menyambut baik akan kedatangan Hang Kasturi atas sebab hubungan persahabatan mereka sejak kecil. Hang Kasturi melaksanakan seperti yang dititahkan kepadanya. Hang Jebat pun mengambil keris tersebut dan menyerahkan kepada Hang Kasturi.
Keesokan tengah harinya, sewaktu Hang Jebat sedang tidur, Hang Tuah diiringi 40 orang pengawal dan berbekalkan keris pusaka Raja Melaka, pergi ke istana Melaka untuk membunuh Hang Jebat. Hang Jebat terjaga dari tidurnya apabila terdengar huru-hara suara dayang-dayang istana seramai 700 orang bising ketakutan. Kehadiran Hang Tuah di tengah-tengah taman istana sangat mengejutkan Hang Jebat dan beliau menganggapnya hanya mimpi kerana beliau hanya mengetahui yang Hang Tuah sudah mati di bunuh.
Sebelum Hang Tuah memasuki istana, Hang Jebat menutup semua 40 pintu istana dan membunuh semua perempuan dalam istana, kecuali Dang Baru yang sedang mengandung tujuh bulan. Hang Tuah menyuruh Hang Jebat membuka kedua-dua daun pintu kerana khuatir akan tipu helahnya. Hang Tuah pun melompat ke dalam istana dan bermulalah pergelutan diantara dua sahabat tersebut.
Dalam pergelutan itu, Hang Tuah gagal untuk menikam Hang Jebat kerana keris Taming Sari masih berada di tangan Hang Jebat. Sebelum meneruskan pertikaman, Hang Jebat meminta agar semua pengawal istana tidak menjolok lantai istana dengan menggunakan lembing dan memberitahu tentang kehamilan Dang Baru. Dua bersaudara ini terpaksa bertarung di atas talam kerana khuatir akan jolokan dari bawah. Kemudian beliau berwasiat kepada Hang Tuah, jika Dang Baru melahirkan seorang anak lelaki hendaklah dijadikan pengawal Tun Nadim (anak Hang Tuah). Manakala sekiranya seorang perempuan, itu terserah kepada ibunya, Dang Baru.
Apabila penat bertarung, dua bersaudara pun berehat. Hang Jebat terleka semasa berehat dan kesempatan tersebut diambil oleh Hang Tuah untuk mengambil keris Taming Sari dari pinggang Hang Jebat. Hang Tuah membalingkan keris yang digunakannya sebelum ini ke arah Hang Jebat dan pergelutan diteruskan. Hang Jebat telah terkena tikaman keris Taming Sari Hang Tuah.. Setelah pergelutan berakhir, Hang Tuah membalut luka Hang Jebat terlebih dahulu sebelum beliau pulang ke rumah.
Hang Jebat yang bermandikan darah menutup semua pintu istana untuk berehat dan berjumpa isterinya. Orang ramai yang menyaksikan pertikaman tersebut terkejut kerana Hang Jebat masih hidup. Hang Jebat kemudiannya mengamuk di tengah pasar Negeri Melaka menyebabkan beribu-ribu orang mati terbunuh termasuk lelaki dan perempuan.
Hang Kasturi menjenguk Hang Tuah di rumahnya (atas titah Raja Melaka). Hang Kasturi diberitahu oleh Dang Kamala bahawa Hang Tuah sedang berkhalwat dan tidak boleh bercakap selama tiga hari tiga malam. Berita tersebut disembahkan kepada raja. Hang Tuah kemudiannya pergi ke sungai setelah mendapat tahu tentang pengamukan Hang Jebat di pasar.
Setelah Hang Jebat terdengar suara Hang Tuah, beliau terus mendapatkan Hang Tuah dan meminta supaya dirinya dibuang ke sungai. Hang Tuah berasa simpati dengan Hang Jebat, lalu membawanya bersama pulang ke rumah. Hang Tuah memberinya sirih yang sudah beliau kapurkan. Hang Jebat meminta agar Hang Tuah membuka balutan lukanya dan darah pun keluar dengan banyaknya. Hang Jebat pun mati di pangkuan Hang Tuah.
Raja Melaka bertambah sayang kepada Hang Tuah dan ini menimbulkan lagi perasaan iri hati para pegawai dan pertuanan istana tetapi tidak berani untuk menyuarakannya, kerana bendahara dan Temenggong kasih akan Hang Tuah.
Dang Baru melahirkan anak lelaki yang diberi nama Hang Kadim setelah dua bulan Hang Jebat meninggal. Raja menitahkan supaya Hang Kadim dibuang ke laut. Tetapi dihalang oleh Hang Tuah kerana Hang Jebat memberi wasiat agar anak itu dipeliharanya. Hang Tuah mengadap Tun Teja dan memohon kurnia supaya Hang Kadim itu dihantar ke Inderapura untuk dijaga oleh ayahanda Tun Teja.
Sumber: https://www.facebook.com/khalifah.samudera/posts/963865693703842
No comments
Post a Comment