Breaking News

ISTILAH-ISTILAH SUFI.

ISTILAH-ISTILAH SUFI.
Dan setengah daripada istilah Sufi itu adalah seperti berikut.
1. Al-Ittishal – Yakni berhubung ‘Nur Ittishal’ itu ‘mukasyafah hati’ dan ‘musyahadah sir’ kata setengah mereka itu ‘Ittishal’ tiada memandang hamba akan yang lain daripada Allah SWT yang menjadi akan dia, dan tiada berhubung rahsianya itu dengan lintasannya bagi yang lain daripada Allah SWT jua.

2. Wusul ilallah – Yakni setengah daripada istilah mereka itu sampai kepada Allah, Murad daripada sampai kepada Allah itu sampai kepada mengenalnya, yakni mengenal akan tiada yang berbuat, berlaku pada ‘kaun’ ini yang mempunyai sifat dan maujud melainkan Allah dengan ‘zauq’ dan ‘wujdan’ tiada dengan ‘dalil’ dan ‘burhan’.
3. Muraqabah – iaitu mengekalkan pengetahuan hamba dengan Allah SWT, melihatnya atas sekalian kelakuannya, atau dikatakan erti muraqabah itu, iaitu menfanakan hamba akan Af’alNya, sifatNya dan zatNya didalam Af’al Allah Shifatnya dan ZatNya.
4. Musyahadah – iaitu melihat akan Allah SWT yang sebenarnya didalam tiap-tiap ‘zarrah’ dari ‘zaratul wujud’ ini, serta disucikan daripada barang yang tak patut dengan kebesarannya.
5. Syuhud – iaitu melihat ‘Haq’ dengan ‘Haq’.
6. Tajalli – iaitu barang yang dibukakan bagi hati orang yang ‘salik’ daripada beberapa Nur yang datang daripada Ghaib, jika dari zatNya dengan tiada ‘I’tibar Shifat’ dinamakan ‘Tajalli Zat’, jika daripada Shifat dinamakan ‘Tajalli Shifat’, jika daripada ‘Af’al’ dinamakan Tajalli Af’al maka ‘Tajalli Asma’ itu, iaitu barang yang dibukakan bagi yang salik setengah daripada ‘asma’ Allah Ta`ala. Maka jadi hilang ‘salik’ itu dibawah ‘Nur’ demikian “Isim” itu sekira-kira jadilah apabila diseru oleh ‘Haq’ dengan demikian ‘isim’ nescaya disahut oleh orang yang di salik itu, “tajalli Shifat” itu barang yang dibuka oleh Allah SWT satu Shifat daripadanya bagi hati orang yang ‘salik’ (murid). Adalah yang demikian itu kemudian daripada Fana’ Shifatnya umpamanya jika Tajalli Allah Ta`ala dengan ‘shifat sama’ maka jadilah orang yang ‘Salik’ itu mendengar daripada sekalian yang ‘maujud’ yang bersuara seperti binatang dan yang tidak bersuara seperti kayu, batu dan lainnya. ‘Tajalli Af`al’ itu, iaitu barang yang dibuka oleh Allah bagi hati Salik daripada Af’al Allah Ta`ala sekira-kira dilihat sekalian perkara itu berlaku dengan Qudrat Allah Ta`ala. Ialah yang menggerakkan dan mendiamkan akan sebagai shuhud yang ‘Khali’ yakni sunyi lagi ‘zauqi’ tidak mengetahui melainkan ahlinya.
“Maka di sinilah tempat tergelincir orang yang salik kerana ia menafikan perbuatannya sekali-kali. Maka hendaklah sangat-sangat memegang akan syariat.”

7. Isyq – iaitu cita-cita hati kepada mendapat kekasihnya.
8. Mahabbah – iaitu cenderung hati kepada mendapat keelokkan”Hadrat Ketuhanan”.
9. Haal – iaitu barang yang datang atas hati orang yang salik daripada suka atau duka atau hebat, jika pergi-datang tiada tetap dengan tiada diperbuatnya dan tiada diusahakannya dinamakan ‘Haal’, jika kekal jadilah tabiatnya dinamakan ‘Maqam’ maka ‘Haal’ itu pemberian dan ‘Maqam’ itu dengan diusahakan.
10. Ilmu Yakin – iaitu ilmu yang hasil dengan ‘dalil’ dan ‘aqal’.
11. Ainul Yakin – iaitu pengetahuan yang dihasil dengan dilihatnya.
12. Haqqul Yakin - iaitu ‘Fana’ sifat hamba pada Tuhan dan ‘Baqa’ dengannya.
13. Ath-Thamsu – Iaitu hilang, yakni hapus segala tanda sekalian pada sifat Allah, iaitu satu bagi daripada ‘Fana’.
14 Al-Jam`u – iaitu ‘Syuhud’ akan segala perkara dengan Allah Ta`ala dan melepaskan dirinya daripada daya dan upaya kepada Allah Ta`ala.
15. Jami`ul Jami` - iaitu memfanakan akan dirinya, dan segala akuan tiada ada melainkan Allah Ta`ala iaitu yang dinamakan “Martabat Ahadiyah”,
16. Al-Gharaqul Awwal – iaitu hal ‘salik’ melihat akan makhluk terdinding daripada ‘Haq’ maka tiada ia melihat melainkan makhluk jua.
17. Al-Gharaquts Tsani – iaitu hal orang yang ‘muntahi’ melihat berdiri sekalian makhluk dengan ‘haq’ dan melihat ia akan ‘wahdah’ pada ‘kastrah’, dan melihat pula ‘kastrah’ pada ‘wahdah’ tiada mendinding salah suatu daripada lainnya.
18. Tajrid – iaitu sunyi hati daripada yang lain dan segala akuan pada hatinya dan ‘sirr’nya.
19. Taqwa – iaitu menjauhkan daripada tiap-tiap yang berdosa daripada perbuatan dan mengekalkan suruhannya. Iaitu orang yang awam dan taqwa orang yang ‘khawash’ itu menyucikan hati daripada tiap-tiap yang membimbingkan selain daripada Allah.
20. Himmah – iaitu berhadap hati dengan segala kuatnya yang ‘Ruhaniyi’ kepada yang sebenar supaya hasil ‘kamal’ baginya atau bagi yang lainnya.
21. Ikhlash – iaitu disamakan perbuatan pada zahirnya dan batinnya, atau menunggalkan ‘Haq Subhanahuwata`ala’ pada mengerjakan taat, atau menyucikan hati daripada melihat akan dayanya dan upayanya.
22. Shidq – iaitu disamakan zahir dan batin atau dikatakan: “Dibenarkan qashadnya serta Tuhannya, tiada dihiraunya barang yang datang daripada kecelaan daripada makhluk”.
23. Al Haibah – iaitu membesarkan haq Ta`ala dengan menghinakan makhluk pada matanya, dan demikian ‘Ta`zhim’, iaitu dengan membesarkan ‘Haq Ta`ala’ dengan menghinakan makhluk.
24. Munajah – iaitu berkata-kata sirr tatkala jernih hati serta Tuhan raja yang amat keras.
25. Shalih – iaitu berdiri dengan sekalian “huququllah” dan hak-hak hamba, senantiasa atas mengerjakan taat dan menjauhkan segala tegah serta memutuskan nafsu didalam keinginannya.
26. Wali – iaitu mereka yang diperintahkan segala pekerjaannya. Dan alamat wali itu, mereka yang lemah lembut lidahnya, baik perangainya, manis mukanya, murah nafsunya, sedikit perbantahannya, menerima keuzuran orang yang salah kepadanya, dan seumpama kasih sayang atas segala makhluk Allah, kata Muhammad anak Sahal anak Atha’ Rahimahullah Ta`ala: “alamat wali itu empat perkara:
a. Pertama : memelihara Sirr antaranya dan antara Allah Ta`ala.
b. Kedua : memelihara segala anggota pada barang yang diantaranya dan antara suruhan Allah Ta`ala.
c. Ketiga : menanggung kesakitan barang yang dian-taranya dan diantara segala makhluk Allah Ta`ala.
d. Keempat : Meraikan segala makhluk atas kadar bersalah-salahan aqal antara mereka itu.”
27. Al-Tashawaf - iaitu berhenti serta adab syariat yang zahir dan batin. Maka ia melihat akan hukumnya daripada zahirnya didalam batinnya, yang batinnya pada zahirnya. Maka shahih daripada dua hukum itu, sempurna yang tidak sempurna kemudian daripadanya atau dikata: “Jernih zahir daripada dosa dan jernih batin daripada aghtar”.
28. Ash-Syariah - iaitu mengerjakan segala yang disuruh oleh Allah Ta`ala dan menjauhkan segala yang dilarang oleh Allah.
29. Asyid dan Masyuq – iaitu yang dimaksud dengan ‘Asyid itu iaitu seperti umpama yang menilik cermin, yang dimaksud dengan ‘ma`shuq’ iaitu rupa yang kelihatan dalam cermin, maka menilik cermin itu iaitu umpama zat Allah. Cermin yang jernih itu, iaitu ‘A`yan Tsabitah’. Rupa yang kelihatan dalam cermin itu ‘Wujud Idhafi’ ialah yang diberahikan (yang dicintai, Pen: ) oleh ‘A’yan Tsabitah’.
30. A`yan Tsabitah – iaitu ibarat daripada haqiqat segala asyya (bahagian-bahagian, Pen: ) Pada martabat ilmu. Sekali-kali tidak ‘maujud’, tetapi adalah ia ‘ma’dum’ yang tsabit didalam ‘ilmu Haq Ta`ala’. Sekali-kali ia tiada keluar jadi ‘A`yan Kairiyah’, tiada zahir jadi ‘wujud aini’ tetapi adalah ia kekal atas halnya didalam ‘buthun’, iaitu ‘Syuun Zat’ yang nyata pada mertabat Wahdah dari kerana adalah ‘buthun’ itu ‘zatiyi’ baginya. Dan yang zhahir jadi ‘A`yan Khariyah’ itu segala hukumnya, atsarnya dan lawazimnya sengan sebab wujud Haq Ta`ala, dari kerana tiada dari sana wujud, hanya wujud Haq Ta`ala.
31. A’yan Khairijiyah dan Ilbas – iaitu barang yang ta`alluq oleh lafaz ‘kun’ dinamakan ‘Alam’, dinamakan pula ‘Zhilluts Thani’, ‘Ka-inat’ pula namanya, ‘Maujudat’ pun namanya, dan ‘Makhluq’ pun namanya.
32. Huwiyah – iaitu Zat Nya yang semata-mata dengan sekira-kira zat jua, tiada dii`tibar dengan shifat dan tiada dii`tibarkan pula dengan tiada shifat. Dinamakan pula ‘Haqiqatul Haqaiq’. Jika ia dii`ktibarkan ia sunyi daripada segala shifat yang lebih atas zat dinamakan ‘Ahadiah’ dan dinamakan ‘Al-`Ama’ pula. Jika dii`ktibarkan bershifat dengan segala ‘Shifat Kamalat’ maka dinamakan ‘Wahidiyah dan ‘Ilahiyah’. Segala shifat Tuhan itu jika ta`alluq dengan kasih sayang dan rahmat dinamakan dengan ‘Shifat Jamal’”. Atau bergantung ia dengan ‘Qahhar’Nya dinamakan ‘Jalal’.
33. Sakrah dan Shahwun – iaitu Sakrah itu mengeras atas halnya. Yakni mengeras atasnya ‘mabuk’ kerana ingat kepada kekasihnya. Shahwun itu kembali ia kepada halnya, yakni kepada mendirikan pada `ubudiyah.
34. Mahwun dan Itsbat, Mahwun – iaitu hilang segala shifat dirinya. Itsbat itu menyabitkan barang yang didatangkan atasnya daripada segala bekas kasih.
35. Murid dan Murad – Murid itu iaitu salik yang berkehendak. Murad itu Yang dikehendaki, iaitu Allah Ta`ala.
36. Ilmu Laduni – iaitu ilmu yang hasil dengan tiada diusaha. Ilmu daripada Allah kepada HambaNya `Arifin.
37. Tauhid – iaitu mengesakan Allah pada wujudNya. Adalah bagiNya empat bahagian.
a. Pertama : Tauhid Uluhiyah.
b. Kedua : Tauhid Af`al.
c. Ketiga : Tauhid Shifat.
d. Keempat : Tauhid Zat.
Tauhid Uluhiyah itu mengesakan Allah pada ketuhananNya. Tauhid Af`al itu mengesakan Allah pada perbuatanNya. Yakni dialah yang berbuat dan melakukan pada ‘kaun’ ini dengan zauq dan wijdan.
Tauhid Shifat itu, iaitu mengesakan sifat bagi Allah. Yakni tiada yang hidup, tiada yang `alim, tiada yang kuasa, melainkan Allah Ta`ala. Hilang daripadanya segala shifat dirinya, daya dan upaya dirinya.
Tauhid Zat itu, iaitu tiada ada maujud melainkan Allah. Tiada dilihat akan wujud yang lain daripada wujudNya. Tiada dilihat wujud dirinya, dan tiada dilihat adamnya.
Kata Syeikh Abu Mawahib Muhammad Zainal Abidin Ibni Muhammad Al-Ghamari Rahimahullah Ta`ala didalam kitabnya yang bernama ‘Minahul Ilahiyah’. Bermula tauhid itu empat martabat:
(1) Pertama : للها لاا هلالا serta lalai daripadanya atau serta mengengkarinya, seperti tauhid orang yang munafiq.
(2) Kedua : Tauhid segala `Awamul Muslimin, iaitu menyebut, للها لاا هلالا serta membenarkan pada hatinya akan yang demikian itu.
(3) Ketiga : Tauhid orang ‘Muqarrabin’ iaitu jalan kasyaf dengan perantaraan “Nurul Haq”. Seperti, ia melihat akan segala perkara itu keluar sekaliannya dari Allah Ta`ala dengan halnya.
(4) Keempat : Tauhid ‘Khawashul Khawash’ iaitu bahawa tiada dilihatnya pada wujud ini melainkan Tuhan yang Esa. Dinamakan ‘Ahlush Shufi’, ‘fana’ didalam tauhid. Tiada dilihat akan dirinya sebab melihat akan Tuhannya. Dan inilah Sehingga–hingga nya didalam ‘Ilmu Kasyaf’, iaitu ‘Musyahadah orang yang Shiddiqin’.

No comments